Buku Ubat Tidur


Berakhirnya zaman persekolahan bermakna terputuslah hubungan buku ilmiah dengan anak remaja. Sesi persekolahan dan kuliah di universiti memaksa kita membaca untuk lulus dalam peperiksaan. Ia secara tak langsung membentuk budaya membaca walaupun hakikat kita tidak menyukainya.

Makin teknologi berkembang pesat, makin sukar untuk menarik minat remaja membaca. Kenapa? Sedangkan banyak buku menarik diterbitkan untuk bacaan masyarakat. Jawapannya mudah, buku secara amnya dikategorikan sebagai ‘ubat tidur’.

Ini kerana sejak kecil kita menganggap buku sebagai bahan bacaan membosankan dan persepsi itu sekali gus diheret hingga dewasa. Penulis sendiri tak menafikan, buku ilmiah ada ketikanya boleh jadi ubat tidur terbaik namun jika dipaksa dan dilakukan dengan kerap, lama-kelamaan istilah ubat tidur tidak akan wujud dan membaca boleh dijadikan hobi baru untuk anda.

Tinjauan dilakukan penulis di beberapa kawasan tumpuan umum di Lembah Klang mendapati tidak ramai yang menghabiskan waktu terluang ketika menunggu tren atau bas dengan membaca buku. Tak keterlaluan dikatakan kurang 10 peratus daripada orang ramai yang ditemui lebih suka melayari Internet dan laman sosial di telefon bimbit berbanding membaca surat khabar atau majalah.

Buku ilmiah membosankan

Pakar Psikologi Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Sulaiman Selamat dalam kenyataannya pada 2011 berkata, mengulas mengenai kelesuan minat dan permintaan, beliau mengakui tiadanya daya tarikan terhadap kandungan mahupun cara susun atur selain penggunaan bahasa Inggeris sebagai antara faktor penyumbang terbesar remaja kurang gemar membaca.

“Buku ilmiah memang membosankan, terlalu profesional dan korporat. Namun, itulah identitinya serta sukar dielak kerana tujuan ia diterbitkan untuk membudaya wacana ilmu serta meningkatkan daya intelek individu.

“Bagaimana boleh dikatakan ilmiah jika penyampaiannya dilakukan secara santai? Itu tidak akan mencapai matlamat penulisannya selain akan memporak-perandakan proses pengembangan ilmu yang berpaksikan fakta serta penyelidikan.

“Mesti ada perbezaan, cuma kehendak masyarakat suka kepada buku berbentuk ringan mengehadkan penjualan dan permintaan biarpun susun aturnya menarik. Namun, mengatakan kita langsung tidak suka, itu tidak benar kerana ada yang masih suka membaca tetapi jumlahnya kecil,” katanya.

Dua muka surat setahun

Memang mengejutkan! Fakta ini mungkin kedengaran tak relevan tetapi percayalah maklumat terkumpul berdasarkan kajian. Dengan jumlah rakyat Malaysia yang kini 28 juta orang, sebahagian besarnya memang tidak sukakan buku! Mungkin ada cuma hanya sebilangan kecil yang gemar membaca.

Jika statistik pada 1997 menunjukkan rakyat hanya membaca satu muka surat buku dalam setahun, ia hanya ‘meningkat’ kepada dua muka surat pada 2002.

Walaupun belum ada statistik terbaru dijalankan untuk menggantikan kajian ini, namun profil kajian terdahulu itu dipercayai masih relevan dengan situasi hari ini.

Selain itu, berdasarkan kajian dilakukan Perpustakaan Negara pada 2005, secara purata keseluruhan rakyat Malaysia membaca dua buku setahun berbanding purata sebelum ini dua halaman buku setahun, terendah antara negara di Asia. Dalam hal ini, rakyat India mendominasi dengan 35, Thailand (25) dan Indonesia (18). Meskipun banyak perpustakaan diwujudkan di negeri dan daerah terpencil seluruh negara, apa yang menyedihkan adalah keadaannya lengang. Cuma dikunjungi kurang 30 pengunjung dalam sehari.

Laman sosial lebih menarik

Memahami kehendak anak remaja yang mungkin malas untuk mengusung buku ke hulu ke hilir, buku, majalah, surat khabar atas talian dan pelbagai aplikasi lain dicipta untuk memudahkan masyarakat celik IT menimba ilmu.

Dengan memiliki telefon pintar yang boleh mengakses Internet pada bila-bila masa mungkin satu keuntungan kepada anak muda kini. Kecanggihan teknologi memberi kita kemudahan untuk membaca dan mengetahui apa saja yang berlaku di sekeliling dengan hanya pencarian di hujung jari.

Malangnya, kecanggihan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya tetapi remaja lebih tertarik dan obses dengan laman sosial, berborak, menonton video, berkongsi gambar berbanding melayari laman web tertentu atau membaca mengenai sesuatu isu pada masa lapang.

Hasil pemantauan dilakukan di stesen perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), RapidKL dan komuter baru-baru ini mendapati tidak sampai 10 peratus pengguna perkhidmatan tren membaca buku, sama ada ketika menunggu atau menaikinya.

Tinjauan penulis mendapati sembilan daripada 10 penumpang di dalam koc lebih gemar berbual menerusi telefon selain sibuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), bahkan ramai yang suka tidur dan termenung sementara menunggu tiba ke destinasi.

Novel jadi pilihan

Dalam lingkungan anak muda yang menggunakan pengangkutan awam, masih ada di antaranya suka membaca. Rata-rata geng ulat buku yang menaiki tren pula memilih novel cinta khususnya penumpang Melayu selain novel Inggeris yang menjadi pilihan penumpang kaum Cina dan India.

Ditanya kenapa memilih novel berbanding bahan bacaan lain, mereka berpendapat novel lebih ringkas dan kandungannya ringan. Tidak perlu berfikir terlalu berat untuk faham jalan cerita. Berbanding majalah atau surat khabar, jangka hayat bacaan novel lebih panjang dan boleh dihabiskan dalam tempoh lama sesuai ketika menunggu bas, tren atau dalam perjalanan ke destinasi.

Bagi lelaki, mereka lebih gemar habiskan masa dengan bermain ‘games’ di telefon bimbit ataupun mendengar lagu dalam MP3.

Geng ulat buku mengakui tahu kewujudan e-book tetapi lebih gemar untuk membaca di laptop atau komputer peribadi di rumah ekoran skrinnya lebih luas dan mudah dibaca.

Walaupun ada kelompok yang gemar membaca, usaha perlu dipergiatkan lagi bukan daripada kerajaan atau badan korporat tetapi individu itu sendiri untuk mengangkat martabat dan ilmu pengetahuannya. Tak guna hasrat menggunung untuk berjaya tetapi hidup terlalu sibuk dengan urusan seharian sehingga tiada masa untuk tambah ilmu di dada.

Tiada ulasan: