Perbuatan Keji: Mengumpat – Adalah Dosa Besar

AKHLAK atau budi pekerti yang baik merupakan darjat paling tinggi bagi umat Islam. Akhlak yang baik akan menentukan kuat atau lemahnya suatu bangsa atau negara. Apabila suatu bangsa sudah tidak memiliki moral yang baik maka bangsa itu sedang menempuh jalan kehancuran.

Mengenai akhlak terhadap sesama manusia, al-Quran memberi petunjuk bukan hanya dalam bentuk larangan melakukan hal-hal yang negatif seperti membunuh, tetapi juga memaki hamun, menyakiti hati dengan cara menceritakan aib seseorang di belakangnya tanpa mempedulikan aib itu benar atau salah.

Memperkatakan sesuatu menyentuh peribadi seseorang sehingga boleh mencemar kewibawaannya di khalayak ramai atau memperkatakan sesuatu yang bukan menyentuh peribadi dengan maksud untuk menjatuhkan seseorang tanpa pengetahuan orang yang diperkatakan, maka itu adalah umpatan.

Keangkuhan yang ada pada diri seseorang juga menyebabkan dia mengumpat orang lain akibat tidak dapat menerima hakikat yang orang lain itu lebih baik dan lebih mulai daripada dirinya. Dia berbuat begitu kerana merasakan dirinya lebih layak dan terbaik atau lebih baik lalu merendah-rendahkan orang tersebut.

Dalam hal mengumpat, jumhur ulama telah sepakat mengatakan bahawa ia adalah satu perbuatan keji dan dosa besar. Pengumpat, pemfitnah termasuk dalam kategori pencela yang mana mereka itu semuanya dijanjikan dengan azab neraka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji.” (Surah Al-Humazah ayat 1).

Memang tidak dapat dinafikan dalam keadaan tertentu membicarakan tentang kedurhakaan seseorang itu diharuskan. Namun persoalannya apakah orang yang diumpat itu sudah nyata dari segi kefasikan dan kekejian perbuatannya atau sekadar prasangka buruk kita sahaja tanpa bukti yang sahih dan kukuh. Imam Malik meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah berprasangka, kerana prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta. Janganlah kamu meneliti rahsia orang lain, mencuri dengar, bersaing yang tidak baik, saling mendengki, saling membenci, saling membelakangi. Jadilah kamu ini sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara”.

Dalam hadis lain,

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apakah kamu sekelian tahu apa itu ghibah? Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Lalu Nabi bersabda: “Kamu menceritakan sesuatu tentang diri saudara kamu yang ia tidak sukai.” Salah seorang sahabat bertanya: “Bagaimana pendapat tuan hamba, jika apa yang saya perkatakan itu memang ada pada diri saudara saya. Baginda menjawab: “Walaupun apa yang kamu perkatakan itu memang ada pada diri saudara kamu, ia tetap ghibah terhadapnya. Dan sekiranya tidak ada maka engkau telah melakukan dusta terhadap dirinya.” (Riwayat Muslim).

Keji
Justeru larangan mengumpat sangat keras (dosa besar dan keji), maka Allah menyerupakan perbuatan ghibah (mengumpat) dengan memakan daging manusia yang sudah menjadi bangkai.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Setiap harta, kehormatan dan darah seorang muslim adalah haram atas Muslim lainnya. Cukup buruklah seseorang yang merendahkan saudaranya sesama Muslim.”

Dalam sebuah hadis dinyatakan berkaitan dengan keburukan mengumpat sebagaimana sabda Nabi s.a.w.

“Mengumpat atau membicarakan aib orang lain itu lebih teruk dosanya daripada perbuatan zina. Mereka(para sahabat) bertanya: “Mengapa demikian wahai Rasulullah?” Nabi bersabda: “Orang lelaki berzina lalu ia bertaubat, maka Allah akan mengampuninya. Adapun orang yang mengumpat, tidak akan diampuni, kecuali orang yang diumpat itu memaafkannya terlebih dahulu. “Manakala balasan yang disediakan untuk orang mengumpat ialah sebagaimana sabda Nabi maksudnya: “Orang-orang yang mengumpat, orang-orang yang mencela dan orang yang melaga-lagakan orang serta orang yang membuat hina atau cela terhadap orang yang bersih daripada sifat keji atau cela itu. Maka nanti di hari Kiamat mereka semua akan dikumpulkan atau himpunkan dalam rupa anjing”.

Antara lain, orang yang mengumpat itu akan diambil pahala dan kebajikan yang dia lakukan serta diberikan kepada orang yang diumpatnya pada hari kiamat nanti sebagai balasan.

Islam melarang keras perbuatan menghina, mencela, memfitnah orang lain kerana dengan perbuatan-perbuatan itu boleh menyebabkan putusnya hubungan persaudaraan. Perbuatan seumpama itu boleh menjatuhkan maruah orang yang terlibat. Malah perbuatan seperti ini amat tidak sesuai sama sekali dengan orang beriman, kerana orang beriman itu hendaklah sentiasa menyedari dirinya juga lemah, kurang dan ada keburukan.

Namun orang yang tidak beriman atau tidak benar-benar beriman sahaja yang lupa diri dan sengaja atau sentiasa mencari kelemahan dan mendedahkan keburukan atau kelemahan orang lain.
Mengumpat adalah satu sikap daripada beberapa sifat akhlak buruk yang harus dihindarkan daripada menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.”

Sesiapa sahaja yang sengaja mencari jalan kelemahan seseorang yang lain dan mengintai-intai keaiban orang lain, sesungguhnya orang itu tidak dijamin keselamatannya. Sebaliknya bukan keaiban orang yang disebarnya terdedah kepada orang tetapi keaibannya juga akan terbuka dengan sendirinya.
Allah akan mendedahkan kelemahan di dalam lingkungan rumah tangganya sebagai balasan ke atasnya yang suka mencari-cari kelemahan dan aib orang lain.

Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa agar lisannya digunakan dalam hal-hal yang baik. Lisannya tidak pernah digunakan untuk memfitnah atau mengumpat, menyinggung perasaan orang lain, kata-kata kasar atau kotor atau untuk menghina orang lain.

Ketika kita berbeza pendapat apa yang harus dilakukan ialah selalu memegang teguh etika Islam iaitu tidak menghilangkan etika bicara yang baik dan sopan. Perkataan yang baik atau sopan merupakan kunci pergaulan yang boleh mengeratkan tali persahabatan yang abadi.

Di dalam al-Quran disebut dengan bermacam-macam istilah termasuk Qaulan maruf (perkataan yang baik) Surah al-Nisa:5; Qaulan baligha (perkataan yang menyentuh perasaan) Surah al-Nisa: 63; Qaulan sadida (perkataan yang lurus dan bermakna) Surah al-Ahzab: 70; Qaulan karima (perkataan yang mulia) surah al-Isra: 23; Qaulan ahsan (perkataan yang terbaik) surah Fuhshilat: 33; Qaulan layyina (perkataan yang lemah lembut) surah Thaha: 44; Qaulan azhima (perkataan yang agung) surah al-Isra: 40; Qaulan thayyib (perkataan yang bersih/baik) surah al-Hajj: 24.

Kita sesama Islam hendaklah menjaga dan mempertahankan nama baik dan kehormatan sesama Muslim.

* PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan,Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).

Tiada ulasan: