Muslim Yang Sempurna – Hadis Munthahharah

Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata:

Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah S.A.W yang mana dia telah menyatakan tujuannya:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan sempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”
Maka baginda S.A.W telah berkata kepadanya: “Tanyalah apa yang engkau kehendaki“

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang alim
Baginda S.A.W menjawab: Takutlah kepada Allah maka engkau akan jadi orang yang alim

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang paling kaya
Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang adil
Baginda S.A.W menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang paling baik
Baginda S.A.W menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah
Baginda S.A.W menjawab: Banyakkan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

Dia berkata: Aku mahu disempurnakan imanku
Baginda S.A.W menjawab: Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik).
Baginda S.A.W menjawab: Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsini

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat
Baginda S.A.W menjawab: Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat

Dia berkata: Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan bersih daripada dosa
Baginda S.A.W menjawab: Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa

Dia berkata: Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di bawah cahaya
Baginda S.A.W menjawab: Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah cahaya

Dia berkata: Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab: Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari qiamat

Dia berkata: Aku mahu dihapuskan segala dosaku
Baginda S.A.W menjawab: Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan) segala dosamu

Dia berkata: Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia
Baginda S.A.W menjawab: Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia

Dia berkata: Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia
Baginda S.A.W menjawab: Sentiasa menyerah diri (tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia

Dia berkata: Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah
Baginda S.A.W menjawab: Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya
Baginda S.A.W menjawab: Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai oleh mereka

Dia berkata: Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab: Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan Allah dan rasulNya

Dia berkata: Aku mahu diterima segala permohonanku
Baginda S.A.W menjawab: Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya

Dia berkata: Aku mahu agar Allah menutupkan segala keaibanku pada hari qiamat
Baginda S.A.W menjawab: Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari qiamat

Dia berkata: Siapa yang terselamat daripada dosa?
Baginda S.A.W menjawab: Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Baginda S.A.W menjawab: Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala )

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?
Baginda S.A.W menjawab: Buruk akhlak dan sedikit ketaatan

Dia berkata: Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?
Baginda S.A.W menjawab: Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang

Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka pada hari qiamat?
Baginda S.A.W menjawab: Sabar di dunia dengan bala dan musibah

Telah berkata Imam Mustaghfirin:“Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanafaat selain hadis ini….“

Tiada ulasan: