Cara sejukkan enjin kereta terlalu panas


WALAUPUN enjin kereta anda dalam keadaan baik tetapi apabila kenderaan sedang mendaki bukit atau membawa muatan berlebihan, ia boleh menjadi panas. Namun, enjin boleh disejukkan kembali dengan menghentikan kenderaan dan mematikan enjin, membuka bonet dan selepas itu, jika perlu mengisi radiator dengan air sejuk.

Enjin yang terlalu panas kerana terlalu lama dihidupkan setelah membuat perjalanan jauh juga boleh mengundang bahaya jika lewat bertindak kerana ia boleh menyebabkan kenderaan terbakar atau meletup. Apabila enjin terlalu panas, berhentilah di tepi jalan.

Tapi ketika memandu, anda tentu bimbang jika penunjuk meter yang menentukan tahap kepanasan enjin menghampiri peringkat H (hot).

Kepanasan enjin berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kurang bekalan air dalam radiator, paip radiator tersumbat, kekotoran pada sirip radiator dan kerosakan pada termostat sistem penyejuk.

Ekzos tersumbat

SISTEM penyalaan kurang tepat, kerosakan pada sistem saluran petrol, ekzos tersumbat, masalah cekam, brek bergesel dan cara pengendalian kenderaan yang kurang baik turut menyebabkan enjin menjadi panas.

Jika perkara ini berlaku, beberapa langkah pertama boleh dibuat. Mula-mula buka bonet kenderaan untuk menyejukkan enjin sementara waktu dan periksa salah satu daripada punca yang dinyatakan tadi.

Periksa radiator kenderaan untuk memastikan tidak berlaku kebocoran di bahagian itu.

Selepas itu periksa tali kipas. Sekiranya ada kebocoran pada radiator atau tali kipas terputus, matikan enjin. Jika tiada kebocoran pada radiator dan tali kipas masih elok, hidupkan enjin kenderaan dan jalankan seketika pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa.

Langkah itu adalah untuk membolehkan udara mengalir melalui sirip-sirip radiator dengan jumlah yang banyak. Air dalam radiator itu akan menjadi sejuk dan pam air akan bekerja lebih cepat sehingga air penyejuk dapat dialirkan dengan lebih baik.

Hati-hati buka radiator

TIDAK lama selepas itu suhu enjin akan menurun. Kemudian turunkan putaran enjin tadi dan buka penutup radiator. Penutup itu perlu dibuka secara berhati-hati untuk mengelakkan bahaya semburan air dan wap panas yang keluar daripada radiator.

Isikan air ke dalam radiator secara perlahan sementara enjin masih dalam keadaan biasa dan matikan enjin sekiranya sudah menjadi sejuk. Sekiranya air terlalu sedikit dalam radiator, ia akan menyebabkan enjin menjadi panas dan wap akan keluar daripada radiator berkenaan.

Dalam keadaan itu, matikan enjin dengan segera dan periksa radiator.

Buka tutup radiator dan ketukkannya menggunakan belakang pemutar skru dan putar perlahan menggunakan kain.

Pegang tutup dengan kemas sehingga wap dalam radiator mengalir keluar dan tekanan dalam radiator menjadi rendah. Selepas itu barulah penutupnya dilepaskan.

Sekiranya, ada kebocoran pada radiator terutama pada bahagian sambungan atau saluran paipnya, hidupkan enjin pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa serta periksa tempat sambungan itu.

Keadaan itu penting kerana ada sesetengah kebocoran tidak dapat dilihat pada putaran enjin yang rendah. Sekiranya ada kebocoran, ketatkan skru pengikat dan jika gelung pengikat rosak, gunakan kawat sebagai ganti.

Jika ada kebocoran, balut bahagian rosak dengan pita pelekat dan perkuatkan dengan kawat sebelum kenderaan dibawa ke bengkel.

Paip radiator tersumbat

HARUS diingat, paip radiator yang tersumbat berpunca daripada kerak atau karat akan mengganggu kitaran air atau menyebabkannya terhenti walaupun ada banyak air.

Untuk membaikinya, buka pili air pada blok enjin sehingga air penyejuk dapat dikeluarkan. Buka tutup radiator dan cuci dengan air bersih untuk mengeluarkan kerak atau karat itu.

Kekotoran pada sirip radiator disebabkan daun kering, serangga atau lumpur akan menyebabkan aliran udara penyejuk terganggu hingga air menjadi panas.

Kekotoran pada permukaan itu boleh dibersihkan dengan menggunakan udara tekanan tinggi atau menyemburnya menggunakan air. Kekeliruan pada langkah pengendalian kenderaan turut menyebabkan enjin kenderaan menjadi panas